Hadith riwayat Attirmidzi (Disahihkan oleh Al-Albani)

عن عبد الله ابن مسعود
قال النبي: ما لي وللدنيا، ما أنا في الدنيا
إلا كراكب استظل تحت شجرة، ثم راح وتركها


Tiadalah bagiku dan bagi dunia, di mana tiadalah aku di dunia ini melainkan seolah-olah seorang penunggang (Musafir) yang singgah berteduh di bawah sepohon pokok, kemudian dia beredar pulang dan meninggalkannya

"Fallacy" musim haji

Labels: , , , , ,

Oleh: Abu Umair (Dipetik daripada Forum Al-Ahkam.Net)

Musim haji tiba lagi. Sebahagian umat Islam dari seluruh pelusuk dunia mula berangkat ke Tanah Suci. Sudah pasti keberangkatan mereka ke sana diiringi pelbagai persiapan dan kelengkapan untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini. 


Antara yang menjadi bekalan sebahagian jemaah haji ialah buku-buku panduan doa dan zikir sepanjang berada di Tanah Suci. Maka tidak hairan buku-buku seperti ini amat laris pada musim haji. Ia pula dicetak dalam pelbagai saiz dan bentuk. Terdapat doa-doa dan zikir-zikir dirakam dan dimasukkan ke dalam album cakera padat (CD) bagi memudahkan jemaah mengikutinya dengan bacaan betul. Selain itu, doa-doa juga dicetak pada kad-kad yang menarik dan boleh digantung di leher jemaah haji supaya mudah dibawa sepanjang perjalanan haji. 

Benar, musim haji adalah musim doa. Sepanjang ibadah haji, terdapat beberapa tempat dan waktu yang amat digalakkan berdoa. Tempat dan masa berdoa yang paling utama dan diharap mustajab ialah ketika wuquf di Arafah, sebagaimana disabdakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. 

Tetapi agak mendukacitakan apabila sebahagian jemaah haji tidak memahami konsep berdoa yang sebenar. Ada yang menyangka bahawa tidak sah berdoa jika tidak dalam Bahasa Arab. Maka terpaksalah bergantung sepenuhnya kepada buku-buku panduan doa yang dibeli, walaupun doa-doa yang dilafazkan tidak difahami oleh diri sendiri. Alangkah pelik, sang hamba meminta dengan Tuhannya suatu yang dia sendiri tidak faham. 

Lebih mendukacitakan, ada jemaah yang menganggap tidak sah berdoa di tempat-tempat tertentu kecuali dengan doa-doa tertentu yang terdapat dalam buku panduan yang dibelinya. Maka berdoa di Multazam mestilah dengan doa khas. Berdoa di Raudhah mestilah dengan doa khas. Berdoa ketika tawaf juga mestilah dengan doa khas. Malahan setiap pusingan tawaf mestilah dibacakan doa tertentu sebagaimana tercatat dalam buku panduan doa. 

Saya ingin menceritakan pengalaman isteri saya ketika masuk ke Raudhah di Masjid Nabawi pada suatu pagi. Bagi yang pernah masuk ke Raudhah sudah pasti dapat membayangkan betapa sempit kawasan tersebut dan sukar untuk dimasuki, kerana ia menjadi tumpuan untuk beribadah. 

Alhamdulillah, setelah bersesak-sesak untuk masuk ke Raudhah, akhirnya isteri saya berjaya sampai ke sana. Pada waktu itu, ada seorang jemaah wanita yang dapat masuk bersama-samanya di Raudhah. Sebaik sahaja wanita itu sampai ke Raudhah dan mendapat tempat di satu saf di situ, tiba-tiba dia memberitahu kepada kawan-kawannya bahawa dia terpaksa keluar semula ke hotel tempat penginapan. Kenapa? Kerana satu sebab iaitu dia tertinggal buku panduan doa. Maka terpaksalah wanita malang ini bersesak-sesak di tengah orang ramai untuk keluar semula dari Raudhah. 

Beginilah susahnya beribadah jika konsep ibadah tidak difahami. Doa adalah satu ibadah yang mudah, tetapi ia digambarkan sebagai sukar. Syarak tidak mewajibkan membaca doa-doa tertentu ketika berada di Raudhah, tetapi sesetengah jemaah memahami bahawa mesti membaca doa khas ketika berada di sana. Begitu juga dengan tempat-tempat lain sepanjang musim haji. 

Maka amat perlu di dalam kursus-kursus haji dan umrah, ditekankan konsep berdoa yang betul dan bertepatan syariat. Buku-buku panduan doa juga tidak sepatutnya tertumpu kepada menyebut doa-doa sahaja. Mesti diterangkan juga konsep doa yang sebenar. 

Dengan kefahaman yang betul tentang doa, barulah ibadah haji dapat dikerjakan dengan diiringi doa-doa yang dipanjatkan ikhlas kepada Allah. Bukan sekadar upacara mengangkat tangan sambil melafazkan ucapan-ucapan dalam Bahasa Arab yang entah difahami atau tidak. Semoga dengan kefahaman yang betul tentang doa, ibadah haji tidak lagi diganggu oleh insiden tertinggal buku panduan doa yang memayahkan umat.


0 comments:

Post a Comment